Baru-baru ini saya sempat mengikuti kuliah yang berkaitan dengan Undang-undang dan peraturan sekolah. Apa yang menarik ialah topik yang berkaitan dengan isu pemansuhan Hukuman Rotan dalam kalangan murid sekolah. Walaupun isu ini agak lapuk untuk dibincangkan, namun ianya amat penting kepada bakal-bakal guru untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi situasi sebenar masalah disiplin pelajar di dalam sekolah.
Mengimbas kembali awal zaman 70an, isu penggunaan rotan dalam menghukum murid yang bersalah merupakan salah satu kaedah yang sering dilakukan oleh guru. Malah, hukuman rotan ini juga mendapat "lampu Hijau" daripada ibubapa agar anak-anak mereka lebih berdisiplin dan mempunyai jati diri yang tinggi. Murid atau pelajar sedar jika dirotan, ia berpunca daripada kesalahan sendiri dan mereka tidak berani mengadu kepada ibu bapa kerana aduan itu tidak dilayan, sebaliknya mereka mungkin dirotan lagi. Dirotan cikgu memanglah sakit, tetapi kebanyakan pelajar yang pernah menerima hukuman itu, kini menjadi manusia berguna, memegang jawatan tinggi dan disegani masyarakat. Malah, ada pelajar yang pernah dirotan berterima kasih kepada guru kerana berjaya menjadikan dirinya seorang yang berguna kepada masyarakat.
Namun senario pada masa kini agak jauh berbeza jika dibandingkan dengan sistem perundangan sekolah yang diamalkan suatu ketika dahulu. Hukuman Rotan dianggap sebagai satu hukuman yang tidak releven dengan keadaan semasa. Jika rotan hinggap ke badan pelajar, maka tindakan undang-undang terpaksa dihadapi oleh guru yang menjalankan hukuman tersebut. Ada ibu bapa yang sanggup mengambil tindakan undang-undang, membuat laporan polis atau memukul guru yang merotan anak mereka. Apa yang menyedihkan, ada pelajar yang mereka-reka cerita bahawa mereka dirotan dengan teruk padahal hukuman Rotan yang dikenakan jauh menyimpang daripada berita yang disampaikan. Jelas menunjukkan guru mula hilang kuasa dalam menghukum pelajar.
Disebabkan hal tersebut, guru mulai takut mengambil tindakan merotan pelajar sehinggakan terdapat guru-guru yang menjadi mangsa keganasan pelajar itu sendiri. Pelajar pada masa kini mulai tunjuk belang dan taring. Terdapat beberapa kes dimana guru dibelasah pelajar, kereta digores, diancam malah ada yang mengugut untuk mencederakan guru dengan bantuan "gengster" jika guru tersebut mengambil tindakan disiplin terhadap diri mereka.
Persoalanya..??? kenapa masalah ini boleh berlaku. Siapa yang harus dipersalahkan. Adakah kelemahan sistem pendidikan negara kita menjadi punca utama yang menyebabkan kejadian ini berlaku ataupun kelemahan institusi keluarga mendidik anak-anak mereka supaya lehih berdisiplin dan menghormati guru.
Bersama-sama kita merenungkanya..

No comments:
Post a Comment